Photobucket

Tuesday, February 22, 2011

JoM TuRuN MeNgUnDi !!





Wednesday, February 2, 2011

~ Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir ~


"Himpunan

Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir"


Tarikh : 4 Februari 2011 ( Jumaat )


Masa : Jam 2.00 petang (selepas solat Jumaat)


Tempat Berkumpul : Masjid As-Syakirin, KLCC


Arah Tuju Perarakan : Kedutaan Amerika, Jalan Tun Razak


Tiga desakan utama ialah :

(1) Menggesa AS untuk tidak campur tangan urusan Mesir

(2) Menegaskan kebersamaan rakyat Malaysia dengan rakyat Mesir

(3) Mendesak seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Husni Mubarak supaya letak jawatan.


Mohon semua meneruskan solat hajat memohon kemenangan kepada keadilan dan kesejahteraan buat rakyat Mesir serta memohon keselamatan untuk anak-anak Malaysia yang berada di Mesir.


Let’s show our solidarity with Egyptians!!



Tuesday, February 1, 2011

Kualiti Ruhiyah Pendakwah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Ruhiyah adalah bekalan yang terbaik bagi setiap muslim terutamanya bagi seorang pendakwah. Ruhiyah inilah yang akan memberi :

  1. Motivasi.
  2. Menggerakkan.
  3. Menilai setiap perbuatan yang dilakukannya.

Kewujudan ruhiyah yang baik dan stabil akan menentukan kualiti kejayaan hidup seseorang, begitu juga dengan dakwah. Sangat tepat apabila kita meneliti satu ungkapan yang menyatakan :

"Ruhiyah sebelum dakwah adalah sebagaimana ilmu sebelum perkataan dan amal".

Ungkapan ini juga merupakan judul dari salah satu bab dalam kitab hadith shahih Al-Bukhari :

"Berilmu sebelum berbicara dan beramal, demikian juga memiliki ruhiyah yang baik sebelum berdakwah dan berjuang".

Dalam konteks dakwah, menjaga dan mempertahankan ruhiyah mestilah sentiasa dilakukan sebelum beranjak ke medan dakwah sehingga menjadi suatu yang ironik jika seseorang berdakwah tanpa mempersiapkan bekalan ruhiyah yang maksima kerana boleh jadi dakwahnya akan menjadi"hambar" sebagaimana juga ruhiyahnya yang sedang "kering".

Allah swt berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu bersama-sama, sujudlah dan sembahlah Tuhanmu, kemudian lakukanlah amal kebaikan, dan berjihadlah di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad". (QS Al-Hajj : 77-78)

Menurut susunannya, ayat di atas memuatkan perintah Allah kepada orang-orang yang beriman berdasarkan skala keutamaan iaitu dimulai dengan perintah menjaga dan memperbaiki kualiti ruhiyah yang tercermin dalam tiga perintah Allah :

  1. Ruku'.
  2. Sujud.
  3. Ibadah.

Kemudian ianya diiringi dengan implementasi dari ruhiyah tersebut dalam bentuk :

  1. Amal.
  2. Jihad yang benar.

Yang diharapkan dari menjalankan perintah ayat ini sesuai dengan urutannya adalah agar kita dapat meraih kemenangan dan keberuntungan dalam seluruh aspek kehidupan, lebih-lebih lagi urusan yang amat berkaitan dengan ruhiyah iaitu dakwah.

Tentunya susunan ayat Al-Qur'an yang sedemikian indah dan tepat itu bukanlah semata-mata hanya memenuhi aspek keindahan bahasa atau ketepatan makna, namun lebih dari itu, terdapat hikmah yang layak untuk digali kerana susunan ayat atau surah dalam Al-Qur'an memang bersifat"tauqifiy" (berdasarkan wahyu, bukan ijtihad). Peri pentingnya ruhiyah dalam dakwah dapat difahami juga dari sejarah turunnya surah Al-Muzzammil. Surah ini secara hukumnya dapat dibahagikan menjadi dua bahagian :

  1. Bahagian yang pertama dari awal surah hingga ayat 19 yang berisi arahan kewajiban solat malam.
  2. Bahagian kedua yang berisi rukhshah (keringanan) dalam hukum qiyamullail menjadi sunnah mu'akkadah, iaitu pada ayat yang terakhir, ayat 20.

Boleh dibayangkan setahun lamanya generasi terbaik dari umat ini melaksanakan kewajiban qiyamullail seumpama solat lima waktu semata-mata untuk mengisi dan memperkuatkan ruhiyah mereka sebelum segala sesuatunya.

Baru di tahun yang berikutnya turun rukhshah dalam menjalankan solat malam yang merupakan inti dari aktiviti memperkuatkan ruhiyah. Perkara ini dilakukan kerana mereka memang dipersiapkan untuk memikul amanah dakwah yang cukup berat dan berterusan. Pada tahap aplikasinya, kestabilan ruhiyah mestilah diuji dengan dua ujian sekaligus, iaitu :

  1. Ujian nikmat.
  2. Ujian cobaan atau musibah.

Ini adalah kerana boleh jadi seseorang mampu mempertahankan ruhiyahnya dalam keadaan susah dan banyak mengalami ujian dan cobaan, namun ketika dalam keadaan lapang dan senang, boleh sahaja ia lengah dan lupa dengan tugas utamanya. Inilah yang dikhuatiri oleh Rasulullah saw dalam sabdanya :

"Bukanlah kefaqiran yang sangat aku khuatirkan terjadi pada kamu, tetapi aku sangat khuatir jika (kemewahan, kesenangan) dunia dibentangkan luas atas kamu, kemudian kerananya kamu berlumba-lumba untuk meraihnya seperti yang pernah terjadi pada orang-orang sebelum kamu. Maka akhirnya kamu binasa sebagaimana mereka juga binasa kerananya". (HR Bukhari dan Muslim)

Maka seorang mukmin yang kualiti ruhiyahnya baik adalah yang mampu mempertahankannya dalam dua keadaan sekaligus. Demikianlah yang pernah Rasulullah saw isyaratkan dalam sabdanya :

"Sungguh mempesona keadaan orang beriman itu; jika ia mendapat anugerah nikmat ia bersyukur dan itu baik baginya. Namun jika ia ditimpa musibah ia bersabar dan itu juga baik baginya. Sikap sedemikian ini tidak akan muncul kecuali dari seorang mukmin". (HR Bukhari)

Dalam konteks ini, contoh yang sempurna adalah Nabi Muhammad saw. Beliau mampu memelihara kestabilan ruhiyahnya dalam keadaan apapun samada dalam keadaan:

  1. Suka atau duka.
  2. Senang atau sukar.
  3. Ringan atau berat.

Justeru :

  1. Semakin besar nikmat yang diterima oleh seseorang, sepatutnya semakin bertambah kadar kesyukurannya.
  2. Semakin besar rasa syukurnya, sepatutnya akan semakin tinggi kekuatan dakwahnya.

Begitulah seterusnya sehingga sangat wajar jika Rasulullah saw tampil sebagai `abdan syakuran' (hamba yang bersyukur) kerana memang demikian jaminan Allah swt :

"Barangsiapa yang bersyukur, maka pada hakikatnya ia bersyukur untuk (kebaikan)
dirinya" (QS Luqman : 12)

Orang yang bersyukur akan memperolehi hasil syukurnya, iaitu kenikmatan ruhiyah yang dapat dilihat dari keadaan kehidupannya yang menjadi lebih bahagia, tenteram dan sejahtera kerana bersyukur pada hakikatnya adalah untuk dirinya sendiri.

Ternyata, kejayaan dakwah Rasulullah saw yang diteruskan oleh para sahabatnya sangat ditentukan (selain dari pertolongan Allah) dengan kekuatan ruhiyahnya. Selain dari qiyamullail yang menjadi amaliyah rutin sepanjang masa, cahaya Al-Qur'an juga sentiasa menyinari hatinya.


Allah swt menegaskan dalam firman-Nya :

"Dan sesungguhnya Al-Qur'an ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam. Ia dibawa turun oleh Ar-ruhul Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan". (QS Asy-Syu'ara' : 192-194)

Demikianlah persiapan Nabi Muhammad saw sebelum menjadi Rasul yang akan memberi peringatan yang merupakan tugas yang berat dan mengandungi risiko adalah dengan dibekalkan Al-Qur'an yang akan sentiasa mengarahkan hatinya. Dalam hal ini, Dr. Yusuf Al-Qardhawi pernah menyatakan dengan tegas rahsia kekuatan Al-Qur'an :

"Al-Qur'an adalah kekuatan Rabbani yang akan menghidupkan hati dan fikiran".

Al-Qur'an akan sentiasa memancarkan kekuatan Allah yang akan kembali menghidupkan hati dan fikiran yang sedang dirundung duka dan kemaksiatan. Kekuatan Nabi Muhammad saw sendiri ada pada kekuatan hatinya yang sentiasa dijana dengan cahaya Al-Qur'an. Demikianlah seharusnya, kekuatan dakwah seseorang mestilah ditentukan oleh kekuatan ruhiyahnya, bukan dengan aspek `secondary' dan bersifat formal yang lainnya.

Pada masa yang sama, agar ruhiyah tetap stabil dan terpelihara, maka mestilah dijaga dengan banyak beramal, meskipun hanya sedikit kerana amal yang terbaik menurut Rasulullah saw adalah amal yang berterusan walaupun sedikit.

"Sebaik-baik amal adalah yang berterusan meskipun sedikit demi sedikit". (HR Tirmizi)

Dalam konteks ini, ketidakstabilan ruhiyah pernah ditegur oleh Rasulullah saw :

"Janganlah kamu seperti si fulan; dahulu ia rajin qiyamullail, kemudian ia tinggalkan".

Penguatan aspek ruhiyah sebelum yang lainnya pada hakikatnya merupakan bentuk kewaspadaan seorang mukmin di hadapan musuh besarnya iaitu syaitan yang seringkali berganding bahu dengan manusia untuk melancarkan serangannya dan merealisasikan misinya.

Amat tepat ungkapan Syeikh Muhammad Mutawalli Asy-Sya'rawi :

"Syaitan akan sentiasa mengintai dan mencari titik kelemahan manusia".

Dengan licik dan penuh komitmen, syaitan sentiasa menggempur kelemahan manusia tanpa henti kerana ia tahu bahwa setiap manusia memiliki kelemahan dan oleh kerananya manusia diperintahkan untuk berlindung hanya kepada Allah dengan memperkuatkan aspek ruhiyahnya.

Demikianlah, aspek ruhiyah sentiasa menjadi potensi yang besar bagi para pemimpin dakwah yang telah menoreh tinta emas dalam sejarah dakwah ini. Mereka adalah orang-orang yang terbaik dalam :

  1. Kualiti ruhiyahnya.
  2. Kekuatan amalnya.

"Ruhbanun bil Lail wa Fursanun bin Nahar"
(rahib-rahib di kala malam dan penunggang kuda di siang hari).

Boleh jadi kelemahan dan kelesuan dakwah memang berakar dari kelemahan dan kelesuan ruhiyah. Telah tiba masanya para pendakwah menyedari kepentingan ruhiyah sebelum amal dakwah dengan memberi perhatian yang besar tentang aspek ini dalam pembinaan kerana memang demikianlah dakwah mengajarkan kita melalui generasi terbaiknya.

Ya Allah, jadikan kekuatan ruhiyah sebagai tenaga yang akan membantu kami dalam memperkukuhkan dan mengembangkan dakwah di jalanMu. Sesungguhnya kami sangat memerlukan bekalan ini sepanjang masa kerana kami memahami bahwa syaitan akan sentiasa mencari titik-titik kelemahan untuk meruntuhkan kekuatan ruhiyah kami. Kami memohon kepadaMu supaya kekuatan ruhiyah ini akan menjadi asbab kepada manusia mendapat hidayah dariMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS