Photobucket
Showing posts with label tazkiyatun nafs. Show all posts
Showing posts with label tazkiyatun nafs. Show all posts

Friday, April 29, 2011

Kekuatan Kehalusan Perasaan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,


Lemah lembut dan halusnya perasaan memberi erti sebagai sikap jiwa yang sentiasa ingin berbuat baik dan menyantuni orang lain dengan penuh kasih sayang.


”Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”. (QS Ali Imran : 159)


Badiuzzaman Said Nursi seringkali mengulangi di dalam Risalah Nurnya bahwa sesungguhnya kehalusan perasaan itu lebih tinggi dan utama nilainya daripada cinta. Ya, memang cinta itu tinggi maqamnya tetapi di dalam setiap hubungan yang tulus, kita dapati kehalusan perasaanlah pengikatnya. Nabi Yaakob as yang menangis hingga buta matanya di atas kehilangan Nabi Yusuf as adalah hasil daripada kehalusan perasaan seorang Nabi dan juga seorang ayah.


Baginda Rasulullah saw ketika mencium bibir dan tengkuk cucu baginda Sayyidina Hussin ra juga kerana kehalusan perasaan baginda kerana baginda telah tahu cucunya itu bakal dipenggal kepalanya suatu hari nanti. Begitu juga kita lihat haiwan seperti kucing ataupun ayam betina kelihatan begitu garang dan menyinga sekiranya anak-anaknya diganggu, sanggup menggadai nyawa bertarung melawan ular ataupun musang demi menyelamatkan anaknya, itulah juga kehalusan perasaan yang telah dicampakkan oleh Allah swt.


Di dalam kehidupan suami isteri, sebenarnya kehadiran cinta semata-mata tidak memadai. Cinta sering dikaitkan dengan sebab dan kecantikan sesuatu. Cinta membuatkan manusia buta atau lupa melihat keburukan dan kekurangan pasangannya. Namun apabila tersingkap kekurangan dan kelemahan pasangan masing-masing, tidak mustahil cinta akan pudar ataupun bertukar kepada benci. Tetapi dengan kehalusan perasaan, kekurangan dan kelemahan pasangan menambahkan :


1. Rasa ingin membantu.

2. Rasa ingin menolong.

3. Rasa ingin berkongsi.

4. Rasa ingin menguatkan.

5. Rasa kasihan dan simpati.


KEHALUSAN PERASAAN ITU DIPERINTAHKAN OLEH NABI

Rasulullah saw adalah contoh tauladan terbaik dalam hal ini, dalam keadaan apa pun, kehalusan perasaan sentiasa tertanam dalam hatinya yang mulia. Banyak contoh mengenai perkara ini dan salah satunya adalah ketika berkecamuknya perang Uhud di mana kaum muslimin dalam keadaan begitu terdesak di mana Rasulullah saw sendiri luka-luka, pipinya pecah dan beberapa giginya patah akibat lontaran tombak kaum musyrikin namun beliau tetap menghiasi dirinya dengan kehalusan perasaan. Beliau menolak ketika diminta untuk mengutuk dan menyumpah kaum musyrikin. Beliau malah berdoa:


”Ya Allah, berilah hidayah kepada kaumku, kerana mereka itu tidak mengerti…”


Demikianlah, kehalusan perasaan menjadi ciri hati seorang mu’min. Sikap ini seharusnya berlaku secara umum, bukan hanya di antara sesama mu’min. Imam At Thabrani meriwayatkan bahwa pada suatu ketika Rasulullah saw bersabda di hadapan para sahabat :


Tidak sempurna iman kamu kecuali kamu berkasih sayang.”


Mendengar hal itu salah seorang sahabat berkata:


”Kami semua telah berkasih sayang..”.


Rasulullah saw kemudian menjelaskan :


”Sesungguhnya yang aku maksudkan bukanlah hanya berkasih sayang antara salah seorang kamu kepada sahabatnya (sesama mu’min), akan tetapi berkasih sayang ’aamah (secara umum)”


Sementara mereka yang berhati kejam dinilai oleh Nabi kita sebagai orang yang paling jauh dari Allah swt. Beliau saw bersabda:


”Sesungguhnya manusia yang paling jauh dari AllahYang Maha Tinggi adalah orang yang berhati kejam (al-’aasi-l qalbi)”. (HR Thabrani)


Jadi, tidak ada alasan bagi kita untuk tidak menghiasi diri dengan kehalusan perasaan, lebih-lebih lagi jika kita renungkan firman Allah swt berikut :


”Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (QS Al-Anbiya : 107)


MENEMPATKAN KEHALUSAN PERASAAN SEBAGAI SIKAP YANG POSITIF


Lembut dan halusnya perasaan seseorang mesti ditempatkan dalam sikap yang positif, contohnya adalah:


Menyayangi anak.

Suatu ketika, salah seorang sahabat yang bernama Al-Aqra’ bin Habis At-Tamimi melihat Rasulullah saw mencium cucunya dengan penuh kasih sayang, ia lalu berkata di hadapan Nabi saw bahwa dirinya memiliki 10 orang anak, dan tidak pernah seorang pun yang diciumnya. Nabi saw kemudian bersabda:


”Siapa yang tidak menyayangi, tentu tidak akan disayangi…”


Menyayangi anak (sebagai bukti adanya kehalusan perasaan) tentulah mesti diwujudkan pula dengan tindakan-tindakan lain seperti memberinya keperluan yang cukup serta memberi pendidikan yang baik sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi saw :


”Tidak ada pemberian yang paling utama yang diberikan seorang ayah kepada anaknya dari memberikan didikan yang baik.” (HR Tirmizi)


Santun dalam berbicara.

Rasulullah saw bersabda kepada isterinya, Aisyah r.a., ”Sesungguhnya di antara kelompok manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah ta’ala adalah mereka yang dijauhi manusia untuk menghindari kejahatannya”.


Hadits ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari berkaitan dengan kehairanan Aisyah ra. ketika melihat Rasulullah saw berbicara dengan lemah lembut kepada seseorang yang disebut oleh Rasulullah sebagai ”bi’sa akhul ’asyirah” (saudara kerabat yang buruk).


Peka terhadap kesulitan orang lain.


Seorang muslim seharusnya dapat merasakan suka duka yang dialami oleh saudara-saudaranya, kerana mereka hakikatnya adalah satu tubuh yang saling menguatkan. Ibnu Abbas dalam suatu riwayat dari Baihaqi pernah diceritakan sejenak meninggalkan i’tikafnya, kerana dia pernah mendengar Nabi saw bersabda :


”Barangsiapa pergi untuk berusaha mencukupi keperluan saudaranya dan berhasil, itu lebih baik daripada beri’tikaf di masjid selama sepuluh tahun. Dan barangsiapa beri’tikaf sehari dengan niat ingin memperolehi keridhaan Allah, baginya Allah akan menjadikan tiga parit lebih jauh dari dua ufuk Timur dan Barat yang akan memisahkannya dari neraka”.


Begitulah kehalusan perasaan diwujudkan dalam kerangka sikap yang positif. Sementara itu sifat mudah tersinggung, cepat marah, mudah kecewa juga lahir dari kelembutan dan kehalusan perasaan tetapi ini adalah kehalusan perasaan yang negatif yang mesti kita jauhi.


CARA MENGHALUSKAN PERASAAN


Kehalusan perasaan dapat dibentuk melalui :


1. Nilai.

2. Wasilah.

3. Lingkungan pendidikan serta pembinaan.


Ini bersesuaian dengan suasana di mana Rasulullah saw sendiri dididik dalam nilai dan lingkungan yang membuatkan beliau memiliki kehalusan jiwa dan perasaan. Ada beberapa cara yang boleh kita cuba untuk menghaluskan perasaan, di antaranya adalah :


  • Tingkatkanlah ’tilawah’ dan ’tadabbur’ Al Qur’an kita.
  • Banyak-banyaklah menyebut dan mengingati nama Allah dalam setiap gerak langkah hidup kita.
  • Perbanyaklah interaksi dengan hadits-hadits dan sirah Nabi serta riwayat para sahabat terutama yang berkaitan dengan kehalusan jiwa dan perasaan.
  • Bangun dan carilah lingkungan yang kondusif / lingkungan orang-orang soleh.


Sentiasa sedar dengan hakikat kehidupan, bahwa tujuan utama kita adalah keridhaan Allah swt, bukannya dunia yang fana ini.


HIKMAH MEMPUNYAI KEHALUSAN PERASAAN


Hikmah mempunyai kehalusan perasaan dan lemah lembut yang paling nyata adalah seperti yang disebutkan dalam firman Allah swt dalam Qur’an surah Ali Imran ayat 159 di atas. Selain itu, satu hikmah terbesar dari bersikap lembut dan memperhaluskan perasaan adalah dalam kaitannya dengan dakwah. Dalam berdakwah, kelembutan dan kehalusan perasaan boleh menjadi salah satu daya tarikan dalam usaha untuk menarik simpati manusia.


“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik…” (QS An-Nahl : 125)


Seorang pendakwah yang mempunyai dan menyemai kehalusan perasaan akan melihat semua orang yang diserunya dengan penuh rasa kasih sayang. Di samping itu dia juga menyampaikan dakwah dengan kehalusan perasaan tanpa menghukum sesiapa. Kelembutan akan membuatkan orang mendekati kita sedangkan bersikap keras dan berhati kasar akan membuatkan orang menjauhkan diri dari kita. Sifat lemah lembut apa pun alasannya mestilah didahulukan, bahkan ketika kita berhadapan dengan orang yang paling ingkar sekalipun. Perkara ini berdasarkan firman Allah swt :


”Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut”. (QS Thaha : 44)


Ayat ini adalah perintah Allah kepada Nabi Musa dan Harun untuk berdakwah kepada Fir’aun yang terkenal dengan kesombongannya yang luar biasa, yakni mengaku sebagai tuhan. Jika kepada orang yang sejahat Fir’aun sekalipun kita mesti berlemah lembut, apalagi kepada saudara kita sesama muslim.


Tapi tentu sahaja ini bukan bererti menghilangkan sikap tegas dan keras kepada orang yang ingkar dan mempermainkan agama Allah. Namun mesti disedari bahwa tegas dan kerasnya seorang muslim, juga kerana adanya kehalusan perasaan. Mereka berjihad hanyalah :


  • Untuk menyeru manusia kepada Khaliq (Pencipta).
  • Berorientasi pada akhirat yang kekal.
  • Untuk menegakkan keadilan.
  • Untuk membebaskan manusia dari kezaliman.


Di samping itu mereka juga berdakwah dan melakukan amar ma’ruf nahi munkar semata-mata kerana cinta dan kasih sayang yang tertanam dalam diri-diri mereka. Inilah kehalusan perasaan yang perlu ditanam dalam diri setiap para pendakwah dan mudah-mudahan kita semua dapat memahami dan bersikap dengannya dalam setiap interaksi dalam kehidupan kita.


Ya Allah, kurniakanlah kehalusan perasaan dan kelembutan dalam hati dan diri kami sehingga dengan sikap itu kami mampu memecahkan tembok-tembok pemisah dalam hati manusia yang berhati keras sehingga memudahkan cahaya hidayahMu menembusi relung hati mereka dan mengalirkan kesedaran serta keinsafan betapa kita hanyalah hamba Allah yang lemah dan memerlukan bantuan dan pertolongan dari Yang Maha Gagah Perkasa.


Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS



Tuesday, February 1, 2011

Kualiti Ruhiyah Pendakwah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Ruhiyah adalah bekalan yang terbaik bagi setiap muslim terutamanya bagi seorang pendakwah. Ruhiyah inilah yang akan memberi :

  1. Motivasi.
  2. Menggerakkan.
  3. Menilai setiap perbuatan yang dilakukannya.

Kewujudan ruhiyah yang baik dan stabil akan menentukan kualiti kejayaan hidup seseorang, begitu juga dengan dakwah. Sangat tepat apabila kita meneliti satu ungkapan yang menyatakan :

"Ruhiyah sebelum dakwah adalah sebagaimana ilmu sebelum perkataan dan amal".

Ungkapan ini juga merupakan judul dari salah satu bab dalam kitab hadith shahih Al-Bukhari :

"Berilmu sebelum berbicara dan beramal, demikian juga memiliki ruhiyah yang baik sebelum berdakwah dan berjuang".

Dalam konteks dakwah, menjaga dan mempertahankan ruhiyah mestilah sentiasa dilakukan sebelum beranjak ke medan dakwah sehingga menjadi suatu yang ironik jika seseorang berdakwah tanpa mempersiapkan bekalan ruhiyah yang maksima kerana boleh jadi dakwahnya akan menjadi"hambar" sebagaimana juga ruhiyahnya yang sedang "kering".

Allah swt berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu bersama-sama, sujudlah dan sembahlah Tuhanmu, kemudian lakukanlah amal kebaikan, dan berjihadlah di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad". (QS Al-Hajj : 77-78)

Menurut susunannya, ayat di atas memuatkan perintah Allah kepada orang-orang yang beriman berdasarkan skala keutamaan iaitu dimulai dengan perintah menjaga dan memperbaiki kualiti ruhiyah yang tercermin dalam tiga perintah Allah :

  1. Ruku'.
  2. Sujud.
  3. Ibadah.

Kemudian ianya diiringi dengan implementasi dari ruhiyah tersebut dalam bentuk :

  1. Amal.
  2. Jihad yang benar.

Yang diharapkan dari menjalankan perintah ayat ini sesuai dengan urutannya adalah agar kita dapat meraih kemenangan dan keberuntungan dalam seluruh aspek kehidupan, lebih-lebih lagi urusan yang amat berkaitan dengan ruhiyah iaitu dakwah.

Tentunya susunan ayat Al-Qur'an yang sedemikian indah dan tepat itu bukanlah semata-mata hanya memenuhi aspek keindahan bahasa atau ketepatan makna, namun lebih dari itu, terdapat hikmah yang layak untuk digali kerana susunan ayat atau surah dalam Al-Qur'an memang bersifat"tauqifiy" (berdasarkan wahyu, bukan ijtihad). Peri pentingnya ruhiyah dalam dakwah dapat difahami juga dari sejarah turunnya surah Al-Muzzammil. Surah ini secara hukumnya dapat dibahagikan menjadi dua bahagian :

  1. Bahagian yang pertama dari awal surah hingga ayat 19 yang berisi arahan kewajiban solat malam.
  2. Bahagian kedua yang berisi rukhshah (keringanan) dalam hukum qiyamullail menjadi sunnah mu'akkadah, iaitu pada ayat yang terakhir, ayat 20.

Boleh dibayangkan setahun lamanya generasi terbaik dari umat ini melaksanakan kewajiban qiyamullail seumpama solat lima waktu semata-mata untuk mengisi dan memperkuatkan ruhiyah mereka sebelum segala sesuatunya.

Baru di tahun yang berikutnya turun rukhshah dalam menjalankan solat malam yang merupakan inti dari aktiviti memperkuatkan ruhiyah. Perkara ini dilakukan kerana mereka memang dipersiapkan untuk memikul amanah dakwah yang cukup berat dan berterusan. Pada tahap aplikasinya, kestabilan ruhiyah mestilah diuji dengan dua ujian sekaligus, iaitu :

  1. Ujian nikmat.
  2. Ujian cobaan atau musibah.

Ini adalah kerana boleh jadi seseorang mampu mempertahankan ruhiyahnya dalam keadaan susah dan banyak mengalami ujian dan cobaan, namun ketika dalam keadaan lapang dan senang, boleh sahaja ia lengah dan lupa dengan tugas utamanya. Inilah yang dikhuatiri oleh Rasulullah saw dalam sabdanya :

"Bukanlah kefaqiran yang sangat aku khuatirkan terjadi pada kamu, tetapi aku sangat khuatir jika (kemewahan, kesenangan) dunia dibentangkan luas atas kamu, kemudian kerananya kamu berlumba-lumba untuk meraihnya seperti yang pernah terjadi pada orang-orang sebelum kamu. Maka akhirnya kamu binasa sebagaimana mereka juga binasa kerananya". (HR Bukhari dan Muslim)

Maka seorang mukmin yang kualiti ruhiyahnya baik adalah yang mampu mempertahankannya dalam dua keadaan sekaligus. Demikianlah yang pernah Rasulullah saw isyaratkan dalam sabdanya :

"Sungguh mempesona keadaan orang beriman itu; jika ia mendapat anugerah nikmat ia bersyukur dan itu baik baginya. Namun jika ia ditimpa musibah ia bersabar dan itu juga baik baginya. Sikap sedemikian ini tidak akan muncul kecuali dari seorang mukmin". (HR Bukhari)

Dalam konteks ini, contoh yang sempurna adalah Nabi Muhammad saw. Beliau mampu memelihara kestabilan ruhiyahnya dalam keadaan apapun samada dalam keadaan:

  1. Suka atau duka.
  2. Senang atau sukar.
  3. Ringan atau berat.

Justeru :

  1. Semakin besar nikmat yang diterima oleh seseorang, sepatutnya semakin bertambah kadar kesyukurannya.
  2. Semakin besar rasa syukurnya, sepatutnya akan semakin tinggi kekuatan dakwahnya.

Begitulah seterusnya sehingga sangat wajar jika Rasulullah saw tampil sebagai `abdan syakuran' (hamba yang bersyukur) kerana memang demikian jaminan Allah swt :

"Barangsiapa yang bersyukur, maka pada hakikatnya ia bersyukur untuk (kebaikan)
dirinya" (QS Luqman : 12)

Orang yang bersyukur akan memperolehi hasil syukurnya, iaitu kenikmatan ruhiyah yang dapat dilihat dari keadaan kehidupannya yang menjadi lebih bahagia, tenteram dan sejahtera kerana bersyukur pada hakikatnya adalah untuk dirinya sendiri.

Ternyata, kejayaan dakwah Rasulullah saw yang diteruskan oleh para sahabatnya sangat ditentukan (selain dari pertolongan Allah) dengan kekuatan ruhiyahnya. Selain dari qiyamullail yang menjadi amaliyah rutin sepanjang masa, cahaya Al-Qur'an juga sentiasa menyinari hatinya.


Allah swt menegaskan dalam firman-Nya :

"Dan sesungguhnya Al-Qur'an ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam. Ia dibawa turun oleh Ar-ruhul Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan". (QS Asy-Syu'ara' : 192-194)

Demikianlah persiapan Nabi Muhammad saw sebelum menjadi Rasul yang akan memberi peringatan yang merupakan tugas yang berat dan mengandungi risiko adalah dengan dibekalkan Al-Qur'an yang akan sentiasa mengarahkan hatinya. Dalam hal ini, Dr. Yusuf Al-Qardhawi pernah menyatakan dengan tegas rahsia kekuatan Al-Qur'an :

"Al-Qur'an adalah kekuatan Rabbani yang akan menghidupkan hati dan fikiran".

Al-Qur'an akan sentiasa memancarkan kekuatan Allah yang akan kembali menghidupkan hati dan fikiran yang sedang dirundung duka dan kemaksiatan. Kekuatan Nabi Muhammad saw sendiri ada pada kekuatan hatinya yang sentiasa dijana dengan cahaya Al-Qur'an. Demikianlah seharusnya, kekuatan dakwah seseorang mestilah ditentukan oleh kekuatan ruhiyahnya, bukan dengan aspek `secondary' dan bersifat formal yang lainnya.

Pada masa yang sama, agar ruhiyah tetap stabil dan terpelihara, maka mestilah dijaga dengan banyak beramal, meskipun hanya sedikit kerana amal yang terbaik menurut Rasulullah saw adalah amal yang berterusan walaupun sedikit.

"Sebaik-baik amal adalah yang berterusan meskipun sedikit demi sedikit". (HR Tirmizi)

Dalam konteks ini, ketidakstabilan ruhiyah pernah ditegur oleh Rasulullah saw :

"Janganlah kamu seperti si fulan; dahulu ia rajin qiyamullail, kemudian ia tinggalkan".

Penguatan aspek ruhiyah sebelum yang lainnya pada hakikatnya merupakan bentuk kewaspadaan seorang mukmin di hadapan musuh besarnya iaitu syaitan yang seringkali berganding bahu dengan manusia untuk melancarkan serangannya dan merealisasikan misinya.

Amat tepat ungkapan Syeikh Muhammad Mutawalli Asy-Sya'rawi :

"Syaitan akan sentiasa mengintai dan mencari titik kelemahan manusia".

Dengan licik dan penuh komitmen, syaitan sentiasa menggempur kelemahan manusia tanpa henti kerana ia tahu bahwa setiap manusia memiliki kelemahan dan oleh kerananya manusia diperintahkan untuk berlindung hanya kepada Allah dengan memperkuatkan aspek ruhiyahnya.

Demikianlah, aspek ruhiyah sentiasa menjadi potensi yang besar bagi para pemimpin dakwah yang telah menoreh tinta emas dalam sejarah dakwah ini. Mereka adalah orang-orang yang terbaik dalam :

  1. Kualiti ruhiyahnya.
  2. Kekuatan amalnya.

"Ruhbanun bil Lail wa Fursanun bin Nahar"
(rahib-rahib di kala malam dan penunggang kuda di siang hari).

Boleh jadi kelemahan dan kelesuan dakwah memang berakar dari kelemahan dan kelesuan ruhiyah. Telah tiba masanya para pendakwah menyedari kepentingan ruhiyah sebelum amal dakwah dengan memberi perhatian yang besar tentang aspek ini dalam pembinaan kerana memang demikianlah dakwah mengajarkan kita melalui generasi terbaiknya.

Ya Allah, jadikan kekuatan ruhiyah sebagai tenaga yang akan membantu kami dalam memperkukuhkan dan mengembangkan dakwah di jalanMu. Sesungguhnya kami sangat memerlukan bekalan ini sepanjang masa kerana kami memahami bahwa syaitan akan sentiasa mencari titik-titik kelemahan untuk meruntuhkan kekuatan ruhiyah kami. Kami memohon kepadaMu supaya kekuatan ruhiyah ini akan menjadi asbab kepada manusia mendapat hidayah dariMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS