Photobucket

Wednesday, May 5, 2010

~Melihat, terlihat dan dilihat~


~BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM~

Dari Umar radhiyallahu’anhu, beliau berkata :

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua peha Baginda seraya berkata:

“Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam”.

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.”

Lelaki tersebut berkata: “ Benarlah engkau.”

Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi:

“Terangkan kepadaku tentang lman”.

Baginda bersabda:

“Bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari kiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan Qadar buruk.”

Lelaki itu berkata:

“ Benarlah engkau.”

Dia kemudian berkata lagi:

"Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan."

Baginda bersabda:

“Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu."

Kemudian, Lelaki itu bertanya lagi:

“Terangkan kepadaku tentang kiamat”.

Baginda bersabda:

“Orang yang ditanya tentang Kiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.”

Lelaki itu berkata:

“Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya”

Baginda bersabda:

“Apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing tapi berlumba-lumba membina bangunan."

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya:

“Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?”

Aku berkata:

“Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”

Baginda bersabda:

“Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.”

(HR Muslim)

=================

Tidaklah berniat untuk mengulas hadis yang panjang ini, sekadar ingin mengetengahkan satu perkara yang sering dipandang enteng oleh kita semua termasuk saya.

IHSAN. Bukan Muhammad Ihsan atau wang ihsan yang sering diberikan oleh kerajaan negeri yang saya maksudkan disini. Mari kita lihat semula definisi ihsan yang Rasulullah SAW terangkan didalam hadis kedua himpunan hadis arba’in oleh Imam Nawawi ini. Apakah yang dimaksudkan dengan ihsan? Sabda Rasulullah s.a.w:

“Al ihsanu an ta'budaLLah kaannaka tara'u, fain lam takun tara'u fainnahu yaroka..”

[maaf xdpt nak taip arabic font]

“Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu."

Ihsan (kebaikan) mungkin juga berbentuk hasan (baik), ahsan (lebih baik), hasanah (baik), dan muhsin (yang berbuat baik). Oleh kerana itu, ihsan boleh diertikan sebagai baik, kebaikan, kebajikan, atau orang yang berbuat baik. Tetapi apakah perbezaanya dengan “khayr” yang mana kita sedia maklum yang ertinya juga sama dengan ihsan iaitu baik?

Walaupun mempunyai maksud yang sama, namun ihsan lebih halus dan dalam maksudnya, lebih berkualiti kebaikannya serta lebih luas fungsinya. Begitu juga dengan Al-Insan dan Al-Basyar yang mana keduanya juga membawa maksud yang sama iaitu manusia. Tetapi insan menggambarkan manusia yang berkualiti dan positif sifat2nya manakala basyar lebih cenderung kepada yang negatif.

Ihsan merupakan tingkat tertinggi dalam keimanan kepada Allah bilamana kita mampu melakukan setiap ibadah (bukan hanya ibadah khusus) seolah-olah kita melihat Allah SWT dan lebih hebat daripada itu jika kita mampu melakukan setiap perkara dalam hidup ini dengan penuh keyakinan bahawa Allah sedang memerhatikan kita. Seterusnya membawa kepada keyakinan bahawa setiap yang dilakukan itu akan ada “habuannya” kelak. Sama ada baik atau buruk, kita yang menentukannya. SubhanaLLah!

“Fainnahu yaroka/ He sees you / sesungguhnya Dia melihat kamu!..”

Betapa sukar rasanya untuk diaplikasikan dizaman ini. Jika tidak, mana mungkin kemungkaran dan kedurhakaan berlaku secara berleluasa sekarang. Salah satu puncanya adalah kerana hilangnya nilai Ihsan dalam diri kita. Kita tidak mampu untuk menghadirkan Allah didalam setiap tindakan kita. Kita juga sukar untuk memperingatkan diri bahawa setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk akan ada perhitungannya diakhirat nanti. Hal ini berlaku sehingga menyebabkan kita dengan mudahnya melakukan dosa, kemaksiatan dan kemungkaran. Mungkin sesuatu kesalahan itu mampu kita sembunyikan dari pandangan manusia. Yang kita zahirkan hanyalah kebaikan dan ketaatan. Namun kita sering lupa, masih ada yang melihatnya. Dia yang melihat tanpa sebarang hijab pun antara kita dan Dia.

Kadang-kadang kita cuba untuk mempertontonkan kebaikan kita dihadapan manusia, namun apabila tidak dilihat manusia kita kembali bertukar watak kepada yang sebaliknya. Dihadapan kebanyakan orang kita cuba untuk berakhlak mulia. Makan dan minum dengan sopan dan penuh beradab umpama pengantin baru. Namun bila ketiadaan manusia, tiba-tiba terus lupa pada upacara “makan beradab” tersebut. Makan dengan lahapnya, minum berdiri bahkan lebih teruk lagi jika sambil berjalan! Contoh yang lebih mudah, didepan orang ramai, kita membuang sampah didalam tong sampah bahkan adakalanya dengan sangat ringan tangan kita mengutip sampah2 yang ada berhampiran dengan kita. Tetapi lain pula situasinya bila kita bersendirian, kita pula yang menyumbang sampah ditempat2 yang tidak sepatutnya.

Dihadapan manusia kita dikenali sebagai seorang yang sangat rajin beribadah, tapi bila bersendirian, sangat banyak alasan yang diberi pada diri dan sering kalah dengan bisikan2 syaitan. Bila dihadapan ramai orang kita sangat menjaga pergaulan lelaki dan perempuan (mungkin kerana ingin menjaga imej Islam). Tapi malangnya bila diluar pengetahuan orang ramai, kita boleh melakukan sesuatu yang jelas-jelas dilarang oleh Islam (yang kita sendiri tahu dan telah diberi peringatan berulang-ulang kali). Bahkan lebih buruk dan teruk lagi jika kitalah orangnya yang menyeru kepada penjagaan ikhtilat itu sendiri.

Hal nahnu qoumun amaliyyun? Adakah kita orang2 yang beramal dengan apa yang kita katakan? Berkali-kali diulang baca didalam usrah, daurah, ceramah dan apa jua majlis ilmu tentang amaran Allah kepada golongan yang mengatakan tetapi tidak beramal ini (As-Soff:2-3). Kita sibuk menyeru orang untuk beramal dengan apa yang kita sampaikan tetapi sering lupa pada diri sendiri (Al-Baqarah:44). Pakcik Hassan Al-Banna (as-syahid) pernah berpesan, “Aslih nafsak, wad’u ghairak”- perbaiki diri dan serulah kepada orang lain. Menunjukkan betapa pentingnya pengislahan (pembaikan) pada diri kita disamping menyeru orang lain kepada pengislahan tersebut. Keduanya perlu berjalan seiring dan serentak. Tidak boleh hanya mengambil satu aspek sahaja.

Ini bukan bererti menghalang sesiapa untuk melakukan kebaikan dihadapan orang ramai atau menyembunyikan kebaikan kita dengan menonjolkan keburukan. Tidak! Bahkan orang yang tidak melakukan kebaikan kerana takut dianggap riak oleh manusia itu adalah riak yang paling besar! Kata naqibahku (maaf, xingat dalilnya). Banyak lagi contoh-contoh yang boleh menggambarkan bahawa nilai ihsan ini semakin terhakis dari kalangan umat Islam hari ini. Namun cuba untuk difokuskan kepada para pemandu kenderaan dakwah itu sendiri supaya kita “bersih” daripada unsur2 yang syubhah dan gharar apatah lagi maksiat, agar apa yang kita serukan mampu membekas pada hati-hati yang menerimanya.

~Allah knows~

[Amaran keras utk diri sendiri! moga tidak menyumbang fitnah kepada Islam]



Tuesday, May 4, 2010

Let's Break The Siege!!


~click image to enlarge~


More info.. >>HERE<<




Cara Rasulullah s.a.w mentarbiyyah remaja


childmus
Dari Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a : Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW (di atas binatang tunggangannya) , lalu sabda baginda : ' Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan.
Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan. ' (HR. Turmuzi dan dia berkata : Haditsnya hasan shahih).


Pengajaran:

1. Untuk Ibn Abbas, sejak kecil Rasulullah SAW telah berdoa untuknya - "Ya Allah berikanlah kepadanya pemahaman tentang din, dan ajarkanlah kepada hikmah". Apabila beliau di peringkat remaja, baginda bermusafir bersama-samanya dan terus mengambil peluang mentarbiyahnya.

2. Baginda memanfaatkan setiap detik masa, hatta sewaktu bermusafir pun baginda mentarbiyah mad'unya yang masih remaja. Baginda tidak merasa enteng terhadap mad'u kecil, bahkan baginda mengambil hal ehwal tarbiyahnya.

3. Baginda sentiasa bersemangat untuk mentarbiyah mad'unya, sehinggakan sewaktu penat bermusafir pun baginda tidak melepaskan peluang untuk mentarbiyah.

4. Baginda, seorang ketua negara yang agung dan manusia paling mulia, tidak merasa terhina menaiki kenderaan bersama remaja kecil. Baginda memperlihatkan contoh KEDEKATAN FIZIKAL dan kemesraan dengan anak remaja. Baginda tiada "generation gap" dengan orang muda.

5. Baginda mentarbiyah orang muda dengan silibus yang berpada, ringan tetapi berterusan - sepertimana kata baginda - "aku ingin mengajar kamu BEBERAPA PERKATAAN".

6. Baginda sentiasa meletakkan asas tauhid sebagai asas tarbiyah generasi muda.

7. Generasi muda yang sering gelisah dan sering dilanda pelbagai ketidaktentuan, baginda berpesan supaya bergantung dan memohon pertolongan kepada Allah.

8. Hakikatnya, baginda merencanakan tarbiyah jangka panjang untuk Ibn Abbas. Akhirnya lahirlah Ibn Abbas sebagai tokoh, pejuang dan pewaris risalah baginda.


SOURCE


Wednesday, April 28, 2010

The Chosen One..




Tidak semua ikan-ikan di lautan di beri cahaya oleh Allah...
Begitu juga, tidak semua manusia di beri cahaya oleh Allah...
Hanya manusia-manusia terpilih sahaja yg telah di pilih oleh Allah untuk memikul beban tugas dakwah ini...
Anggaplah ikan-ikan yg bercahaya tersebut sesuai dgn firman Allah (24:40) adalah KITA insyaAllah...

"Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gelita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun."
(An-Nur: 40)


Saturday, April 17, 2010

Tak cukupkah semua?

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, masih dikurniakan nikmat dan kesempatan utk b'blog setelah agak lama menyepikan diri. Memuhasabah kembali betapa banyak nikmat yang telah diingkari. Membuatkan diri terasa amat malu untuk berpijak dibumi-Nya, lantaran kedurhakaan yang tidak pernah sunyi dari diri. Terlalu banyak rasanya perkara yang ingin diceritakan. Lebih2 lagi peristiwa-peristiwa sepanjang kembali bergelar pelajar. Namun hasrat itu mungkin terpaksa diketepikan dulu buat seketika demi mengutamakan sesuatu yang lebih utama.

Sedikit perkongsian dari email seorang sahabat yang saya sendiri tak pasti dimana sumber asalnya. Moga peringatan demi peringatan sebegini akan membuka ruang untuk mengkoreksi diri sejauh mana tahap kesyukuran kita pada nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan selama kita diberi hayat didunia ini.

Selamat mengintrospeksi diri dan iman!

--------------------***-------------------

Minggu lepas saya sempat tonton sebahagian dari sebuah filem yang disiarkan di channel Vision Four. Tajuknya Interstate 60. Pelakon utamanya saya tak kenal tapi pelakon tambahannya ramai yang top2. Salah satu babak yang saya ingat sangat, ialah di awal cerita yang membabitkan pelakon terkenal, Micheal J.Fox. Dalam babak tu, Micheal kelihatan seperti seorang businessman yang sibuk. Ketika itu dia sedang bercakap2 di handphonenya di dalam kereta. Di belakangnya ada seorang lelaki sedang mengayuh basikal sambil menghisap pipe. Tiba2 Micheal buka pintu keretanya dan akibatnya lelaki tersebut terlanggar pintu tersebut dan tergolek. Tengah tergocoh2 & sibuk mintak maaf tu, handphone Micheal terlepas dari tangan. Sampai je ke atas jalan, datang satu trailer lenyek handphone. Apa lagi, menyumpah seranah la dia. Yela... Sebagai businessman, tentu handphone tu alat penting untuknya.

Dalam keadaan marah, terkeluar dari mulut Micheal (lebih kurang la...) "Saya harap ini tak pernah terjadi". Rupa2nya lelaki yang bawa basikal tadi ada kuasa magik. Dia mampu ulang balik masa dan mereka kembali ke satu keadaan di mana Micheal masih dalam kereta dan lelaki tadi masih menunggang basikalnya. Bila tiba hampir ke kereta Micheal, dia berhenti. Tiba2 Micheal keluar dari kereta. Kali ni lelaki tadi tak melanggar pintunya seperti sebelum ini. Jadi Micheal terus rancak berbual hinggalah tiba2 datang trailer dan melanggar Micheal J. Fox. Lelaki tadi, yang berada di belakang kereta Micheal & memerhatikan segalanya, bekata "Some people just don't know what to wish for" (Sesetengah orang tak tahu apa yang patut diminta).

Apa kesudahan filem ini saya tak tahu sebab saya tak menontonnya hingga selesai. Tapi saya cukup tertarik dengan perkataan lelaki yang berbasikal tu. Sesetengah orang tak tahu apa yang patut mereka minta. Bukankah hampir kita semua begitu? Dalam filem tadi, Micheal mengharapkan kemalangan tu (basikal langgar pintu keretanya) tak berlaku supaya handphonenya terselamat. Tapi tanpa kemalangan itu, dia pula yang maut. Ini satu telefilem fiksyen. Rekaan semata. Tapi perkara ni sebenarnya berlaku dalam kehidupan harian kita.

Seringkali kita meminta perkara yang macam2 seolah2 itulah yang terbaik untuk kita. Persoalannya, tahukah kita apa yang terbaik untuk kita? Kalau kita dilahirkan miskin, kita sering berdoa untuk menjadi kaya. Hendak mengubah kehidupan, kita kata. Tapi kita pastikah kekayaan itu yang terbaik untuk kita? Atau kita dilahirkan pendek, atau terlalu tinggi, atau hitam atau berpenyakit. Tentunya kita mengharap2kan keajaiban untuk menjadi manusia yang sempurna atau sekurang2nya 'just nice'. Mungkin juga kita terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan orang yang tersayang. Pasti tercalit dalam hati keinginan untuk mengembalikan masa itu supaya kemalangan itu dapat dielakkan dan nyawa orang kesayangan kita juga selamat.Kan ?

Persoalannya, adakah apa yang kita perolehi sekarang ini bukan yang terbaik? Adakah Allah itu zalim atau pilih kasih dengan memberi sesetengah orang nikmat manakala setengah lagih azab? Bukankah Allah itu Maha Adil? Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Jika begitu, mengapakah ada sesetengah dari kita yang bernasib malang manakala sesetengah yang lain bernasib baik sepanjang hidup mereka?

Sebenarnya, kita adalah apa yang kita minta (we are what we wish for). Kadangkala tatkala kita berdoa, kita sendiri kurang faham dengan apa yang kita minta. Ada orang berdoa minta selamat. Akan tetapi Allah berikan dia dari sihat jatuh sakit. Dari kaya jatuh miskin. Dari jelita jadi huduh. Bagaimana itu? Itu hanyalah sebagai ujian kesabarannya. Seandainya imannya tetap kuat, insyaAllah dia akan selamat di akhirat kelak. Selamat juga, bukan? Adakah Allah menolak permintaannya? Tidak! Bahkan Allah meletakkannya ke tempat yang lebih tinggi.

Begitu juga dengan keadaan saya baru2 ini. Hidup dikelilingi hutang lapuk. Pening kepala nak bayar. Interest makin meningkat. Ibu mana yang tak kasihan lihat anaknya susah hati? Satu hari tu ibu saya beritahu saya yang dia tiap2 hari berdoa minta saya dapat banyak duit. Dia simpati dengan saya katanya. Saya katakan kepadanya. Kalau banyak duit, tiap2 bulan saya dapat, Alhamdulillah. Saya katakan padanya kalau mahu berdoa untuk saya, berdoalah semoga hutang lapuk saya selesai. Saya beritahunya ketika sebelum Zuhur. Zuhur tu juga dia telah tukar doanya dan Alhamdulillah, petang itu juga saya nampak jalan penyelesaiannya. Doa ibu itu berkat. Sekarang, Alhamdulillah ringan rasanya beban di kepala saya. Maha Suci Allah...

Apabila Allah menentukan sesuatu ke atas kita, percayalah itu adalah yang terbaik. Hanya mata kita yang diseliputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian. Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? 'Grass is always greener on the other side'. Kan ? Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu lebih baik dari apa yang kita miliki. Sedang Nabi saw telah menasihatkan agar kita melihat orang yang dibawah. Jangan melihat orang lebih tinggi kerana itu akan membuat kita tidak bersyukur. Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Saya sendiri mengalami perkara ini. Dan saya percaya ramai yang turut mengalaminya.

Siapa yang taknak gaji besar, kan ? Masa saya grad, ekonomi negara benar2 sedang menjunam. Saya ke hulu ke hilir mencari kerja. Akhirnya saya bekerja sebagai operator di kilang metal stamping. Gaji RM400 sebulan. Tiada OT. Tolak itu, tolak ini, dapatlah RM350. Hm... Cukup? Dah tentu tidak. Ketika itu saya hanya memiliki sebuah motor Yamaha 110SS hadiah ayah sempena dia dapat EPF. Isi minyak dengan makan dah habis. Ketika itu saya fikir, dapat gaji RM750 pun jadilah. Kemudian saya bekerja sebagai Lab Technician. Betul2 saya dapat RM750. Cukup? Tak juga. Masa tu saya mula terfikir. Dapat gaji RM1500 pun dah cukup. Allah tunaikan lagi. Bekerja pula di petrochemical plant. Sebagai trainee, dapat la RM1500 sebulan. Ya Allah... tak cukup juga. Sebab masa tu saya dah beli kereta Iswara. Saya fikir, dapat RM2500 cukup la. Tapi bila dapat banyak tu, saya tukar kereta pula. Kesimpulannya tak cukup juga! Memang takkan cukup. Nafsu itu adalah benda yang paling besar!

Sekarang, ketika kawan2 saya berlumba masuk syarikat lain yang offer gaji 2 - 3 kali ganda, saya tetap di sini. Kalau ada yang bertanya kenapa saya tak ikut mereka, senang saya katakan. Saya selesa di sini. Kalau solat saya panjang, bos tak pernah marah. Sedang rakan2 saya di syarikat baru dibenarkan solat hanya dalam masa 5 minit sahaja. Kini saya dah pandai mengatakan cukup. Cukuplah sebanyak ini yang Allah beri. Sekiranya diberi lebih, Alhamdulillah. Sekiranya semakin kurang, semoga Allah perkuatkan iman saya menghadapi dugaan mendatang. Yang penting bagi saya, apa yang saya perolehi ini halal dan diberkati. Pesan Nabi saw kepada Saiyidina Ali ra supaya jangan mengira2 rezeki untuk hari esok kerana Allah menurunkan rezeki pada tiap2 hari . Ini benar2 terkesan dalam hati saya. Tapi bukan bererti kita tak boleh mengejar yang lebih baik. Kejarlah dunia seperti akan hidup 1000 tahun lagi. Tapi dunia itu ibarat bayang2. Makin dikejar makin ia lari. Kejarlah akhirat seperti akan mati esok hari. Kerana akhirat itu umpama matahari. Makin kita kejar akhirat (matahari), dunia (bayang2) akan mengejar kita. Rezeki itu hak Allah maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu. Kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada izin dariNya.

Terjadi kepada kenalan saya. Dengan gaji RM1000 sebulan, nak bayar ansuran rumah, nak isi minyak motor yang makin naik, duit lampin anak, duit makan, tinggal pula di JB, memang tak cukup. Sering dia mengeluh. Di tempat kerjanya pula dah lama hadkan OT. Kesian dia. Selalu dia cakap dia nak cari kerja lain. Dah banyak dia apply tapi tak dapat2 sebab tiada kelulusan dan umur pun dah makin lanjut. Atau setidak2nya dapat banyak OT. Saya katakan padanya, besar periuk besarlah kerak. Sekarang dia pakai motor. Kalau gaji besar lagi, mungkin dia pakai kereta. Besar mana pun tetap tak cukup. Tapi... Masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Akhirnya Allah tunaikan permintaannya. Tiba2 dia dapat banyak sangat OT. Hari2 balik rumah sampai tengah malam. Langsung tak rehat. Main dengan anak pun 2 -3 minit masa pagi sebelum ke tempat kerja. Bila jumpa, dia cakap dah penat. Tak larat nak OT. Saya ketawakan dia. Bukankah ini yang dia minta? Ya, katanya. Tapi dia dah tak larat. Hari Ahad je dia dapat rehat. Bila nak main2 dengan anak? Kesian anaknya. Ke masjid pun hari Jumaat saja sekarang ni... Saya katakan padanya, kita tak boleh dapat segala2nya. Dia nak duit, Allah bagi duit. Tapi dia hilang kehidupan dan masa dengan anaknya. Itu adalah permintaannya. Bersyukurlah Allah telah menunaikan...

Kalau nak dikongsi, terlalu banyak rasanya apa yang saya lalui. Saya pasti, saudara2 semua juga ada lalui perkara yang sama. Di sini, bukan niat saya nak mengajar. Bukan juga nak menunjuk pandai. Saya hanya mengajak saudara2 sekalian terutamanya diri saya sendiri untuk berfikir. Apa yang kita buru? Apa yang kita cari? Apa yang kita dapat? Berapa kali pernah kita bersyukur dan berapa kali pernah kita katakan cukup? Cukup atau tidak apa yang kita ada, bergantung kepada cukup atau tidak kita bersyukur ke hadrat Allah. Juga bergantung cukup atau tidak kita tambat nafsu kita. Yang penting tiap kali selepas solat, berdoalah pohonkan Allah berikan yang terbaik buat kita. Wallahu'alam...

Ya Allah! Ampunilah kami ya Allah. Selama ini kami leka. Selama ini kami lalai dalam mengejar nikmat dunia hingga kami lupa janji nikmat syurga Mu. Cukupkanlah kami dengan apa yang Kau beri. Dan jadikanlah kami insan yang tahu bersyukur. Amin... Ya Rabbal 'Alamin...

Akhir kata, berlajarlah untuk berkata..

" CUKUP.... ALHAMDULILLAH ..."

“Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar (tidak bersyukur) kepada Tuhannya, dan sesungguhnya dia (manusia) menyaksikan (mengakui) keingkarannya, dan sungguh cintanya kepada harta benar-benar berlebihan.."
(Al-’Adiyat: 6-8)