Photobucket

Tuesday, March 1, 2011

Komitmen Lelaki Dakwah

‘Rijalud Dakwah’ atau lelaki dakwah adalah seorang yang telah ditarbiyah secara intensif sehingga memiliki persiapan untuk berjuang dan berkorban di jalan Allah. Selain itu, ia juga berpotensi menjadi anashirut taghyir’ atau agen perubah di tengah-tengah masyarakat. Oleh kerana ia melakukan pekerjaan yang besar maka ia mesti memiliki kemampuan dan daya tahan untuk melakukan perkerjaan itu.

Ia juga mesti memiliki ciri-ciri :

a. Kuat.

b. Teguh.

c. Sabar.

d. Komited.

e. Kesungguhan dalam berkerja.

Dalam usia tarbiyah yang telah kita lalui puluhan tahun, ternyata banyak hasil dari buah dakwah yang sudah boleh kita rasakan termasuk :

1. Kemudahan kita untuk melakukan aktiviti dakwah.

2. Semakin besarnya tahap penerimaan masyarakat terhadap dakwah.

3. Kemunculan ‘rijalud dakwah’ yang sudah menjadi tokoh samada di peringkat daerah atau nasional.

Namun di sisi lain dalam perjalanannya, tidak sedikit dari usaha-usaha dakwah yang belum selesai di samping peluang-peluang yang belum dapat diterokai yang semuanya ini memerlukan kehadiran ‘lelaki dakwah’ untuk masuk ke dalam ruang amal ini.

Firman Allah swt :

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).” (QS Al Ahzab : 23)

Kita sedang menunggu tampilnya ‘rijalud dakwah’ yang bersedia untuk meneruskan pekerjaan besar ini iaitu pekerjaan yang memerlukan perjalanan yang cukup panjang dan meletihkan bahkan untuk menyelesaikannya memerlukan waktu yang lama. Selain itu, perkerjaan besar ini juga memerlukan syarat yang cukup dan kecekapan aktivis dakwah dalam mengisi peluang-peluang amal. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya para ‘rijalud dakwah’ meneliti kembali komitmen perjuangannya. Paling kurang, ada lima (5) kayu ukur untuk mengukur sejauh mana kesungguhan (komitmen) perjuangan yang dimiliki oleh seseorang aktivis dakwah.

PERTAMA : RESPONSIF TERHADAP AGENDA DAKWAH

”Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik”. (QS Al Ankabut : 69 )

Ayat di atas memberikan gambaran bahwa Allah memberikan motivasi kepada ‘rijalud dakwah’ untuk sentiasa berada pada orbit yang paling depan dalam menyahut seruan dakwah. Ketika kita telah memilih dengan sedar bahwa dakwah adalah panglima, maka akibatnya adalah bagaimana seorang aktivis dakwah akan menyambut seruan itu tanpa reserve’, sebagaimana sambutan sahabat Handzalah yang pada ketika itu baru berkahwin dan menikmati malam pertamanya, namun, tiba-tiba ada seruan dari Rasulullah saw untuk berangkat berjihad.

Sebagai manusia biasa, kita dapat fahami bahwa telah berlaku pergolakan hati antara menyahut seruan dakwah dan keinginan untuk tetap tinggal bersama buah hati beliau. Namun ternyata, Handzalah menunjukkan ketulusannya sebagai seorang ‘rijalud dakwah’ . Ia berusaha memenuhi seruan dakwah hingga ia menemui kesyahidan. Dari kisah tersebut, Handzalah telah memberikan inspirasi kepada kita untuk tetap memiliki komitmen perjuangan hingga mencapai kesyahidan.

KEDUA : KEMAHUAN YANG KUAT

Di lapangan amal, kita sering menemui permasalahan aktivis yang berkait dengan :

a. Kemahuan untuk menyambut agenda dakwah.

b. Lemahnya kemahuan untuk merekrut dan membina.

c. Menurunnya semangat untuk menghadiri agenda dakwah.

d. Menghindarkan diri dari amanah.

e. Ketidakmahuan untuk tetap berada pada komuniti dakwah.

Semua itu merupakan kenyataan dari sekian banyak masaalah yang mesti segera diselesaikan. Mesti kena ada kemahuan, obsesi serta keyakinan yang besar agar aktivis dakwah tetap sahaja wujud dalam aktiviti dakwah. Ya, ‘rijalud dakwah’ mesti memiliki obsesi keimanan yang membuatnya merasa seronok untuk tetap berada pada ruang kecintaan Allah dan RasulNya. Kita melihat kisah Umair bin Al Hammam yang mengeluarkan kurma di tangannya, memakannya, lalu berkata :

”Jika aku hidup untuk makan kurma-kurma ini maka itu terlalu lama.”

Lalu ia buang kurmanya dan bertempur di medan Badar hingga terbunuh. Kemahuan yang sangat luar biasa memerlukan kekuatan perasaan dalaman dan ketajaman mata hati untuk dapat melaksanakannya dan itu telah dibuktikan oleh Umair bin Al Hammam untuk mendapatkan kehidupan yang abadi.

‘Rijalud dakwah’ sudah semestinya melakukan penilaian amal yang selama ini telah dilakukannya bagi mengukur kembali komitmen perjuangan. Bukan masanya lagi ‘rijalud dawah’ masih menimbang-nimbang antara kepentingan peribadi dengan seruan dakwah. Di sinilah ‘rijalud dakwah’ boleh mengukur apakah selama ini dia telah memiliki komitmen perjuangan yang maksima ataukah belum?

KETIGA : TETAP TEKUN DALAM MELAKSANAKAN DAKWAH

Tetap tekun di jalan dakwah merupakan salah satu kesan positif dari keimanan. Iman bukanlah sekadar kata-kata yang diucapkan melainkan ianya sebuah kewajiban dan tanggungjawab serta jihad yang memerlukan kesabaran dan kekuatan. Tidak mungkin seorang ‘rijalud dakwah’ mengatakan kami percaya pada Islam dan dakwah tanpa berhadapan terlebih dahulu dengan ujian dakwah. Rasulullah saw, walaupun perlu melalui ujian secara psikologi, caci maki, fitnah dan bahkan perlawanan secara fizikal dari orang-orang Quraisy, namun beliau tetap tekun dan sabar untuk terus melaksanakan aktiviti dakwah.

‘Rijalud dakwah’ akan mampu menilai sebesar mana komitmen perjuangannya apabila ia telah teruji di dalam berbagai ujian dakwah, melaluinya dengan penuh kesabaran dan kemudiannya tersenyum untuk memetik buah dakwah yang telah ditanamnya sekian lama. Di sinilah kekuatan seorang rijal ditentukan di mana membuatkan ia semakin dewasa dan matang dalam menghadapi persoalan-persoalan dakwah setelah sekian lama berinteraksi dengan medan dakwah itu sendiri.

KEEMPAT : MENGERAHKAN POTENSI YANG MAKSIMA

Rijalud dakwah’ yang diperlukan ketika ini adalah rijal yang :

1. Memiliki kemampuan memelihara dan mengembangkan potensi kebaikan yang ada pada dirinya.

2. Mampu mengalirkan tenaga kebaikannya untuk mentransformasikan nilai-nilai Islam kepada masyarakat.

3. Mampu mengangkat kesolehan peribadi dan mengubah serta mewujudkannya menjadi kesolehan sosial.

Dia belum dikatakan memiliki kesungguhan dalam komitmen perjuangan kecuali ia telah melakukan pekerjaan ini secara tulus. Mungkinkah seorang aktivis dakwah berdiam diri sementara ummat telah menunggu keterlibatannya dalam projek amal? Ini adalah kerana kalau ia berdiam diri serta tidak mahu mengerahkan seluruh potensinya, maka pada saat itu bererti ia telah membiarkan para pendukung dakwah dalam keadaan lemah.

KELIMA : MENGALAHKAN UZUR PERIBADI

Pernahkah kita mendengar permintaan keuzuran seperti berikut :

a. Minta maaf, saya tidak boleh hadir halaqah kerana sibuk dengan kerja pejabat.

b. Minta maaf, saya tidak boleh datang program kerana perlu menguruskan anak-anak.

c. Minta maaf, saya tidak boleh ikut serta dalam mesyuarat kerana keletihan.

Itulah kira-kira ungkapan-ungkapan yang sering kita dengar dari lapangan dakwah. Sibuk, penat dan letih memang sebahagian dari akibat sesuatu aktiviti yang kita laksanakan, namun persoalannya :

1. Adakah kita sudah yakin bahwa seluruh aktiviti kehidupan kita semuanya sudah terkait dengan agenda dakwah?

2. Adakah semua aktiviti kita adalah aktiviti yang hanya untuk memenuhi hasrat duniawi kita?

3. Adakah kemungkinan semua itu hanyalah alasan-alasan yang boleh kita ungkapkan kepada para ‘rijal dakwah’ yang lain agar kita tidak terlibat dalam projek dakwah?

Kita boleh mendapatkan pelajaran tentang masalah ini dari kisah perang Tabuk di mana kita lihat bagaimana Ka’ab bin Malik tidak turut serta dalam peperangan yang sangat memeras tenaga kerana panasnya cuaca pada ketika itu tanpa alasan yang syar’ie. Allah dan RasulNya telah memberikan uqubah’ (hukuman) berupa boikot komunikasi. Hukuman ini dirasakan cukup untuk dijadikan ‘illaj’ (proses rawatan) bagi seorang aktivis dakwah.

‘Rijalud dakwah’ perlu merenungkan kembali apakah uzur-uzur mereka selama ini benar-benar kerana aktiviti dakwah yang lain ataukah ianya hanya sekadar alasan-alasan yang mungkin boleh dihadirkan secara rasional kepada setiap orang yang mendengar sehingga yang mendengar boleh memberikan pemakluman terhadap ketidakhadirannya dalam agenda dakwah. Kita tidak mahu situasi di mana semakin lama usia ‘tarbawi’ seseorang, semakin mudah pula ia mencipta alasan-alasan terhadap sesuatu projek dakwah.

Seorang sahabat Nabi, Amru bin Jamuh ra sangat ingin untuk ikut serta dalam peperangan walaupun kakinya cacat dan mendapat larangan dari anak-anaknya dalam berjihad, namun ia tidak mahu mengambil rukhshah’ yang telah diberikan, malah ia tetap memilih untuk berada dalam komuniti orang-orang yang terpilih di jalan Allah swt. Bagaimana dengan kita? Persiapan untuk benar-benar mempunyai komitmen di jalan dakwah merupakan salah satu sifat aktivis dakwah yang penting kerana tanpa komitmen, perjuangan dakwah tidak akan wujud dan tujuan-tujuannya tidak akan pernah tercapai. ‘Rijalud dakwah’ akan mampu memiliki kemampuan memikul beban dan amanah ketika ia telah memiliki kelima-lima kayu ukur di atas.

Ya Allah, berikanlah kemudahan kepada kami supaya kami dapat meningkatkan komitmen kami di jalan DakwahMu. Tambahkanlah kekuatan dalaman dan sifat istiqamah kami pada setiap langkah dakwah kami sehingga kami mampu mencapai tujuan dan matlamat dakwah di jalanMu yang lurus.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

2 comments:

Anonymous said...

salam. minta izin copy. tq

::Damia:: said...

wslm wr..

silakan..