~BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM~
Dari Umar radhiyallahu’anhu, beliau berkata :
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua peha Baginda seraya berkata:
“Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam”.
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.”
Lelaki tersebut berkata: “ Benarlah engkau.”
Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.
Kemudian lelaki itu bertanya lagi:
“Terangkan kepadaku tentang lman”.
Baginda bersabda:
“Bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari kiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan Qadar buruk.”
Lelaki itu berkata:
“ Benarlah engkau.”
Dia kemudian berkata lagi:
"Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan."
Baginda bersabda:
“Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu."
Kemudian, Lelaki itu bertanya lagi:
“Terangkan kepadaku tentang kiamat”.
Baginda bersabda:
“Orang yang ditanya tentang Kiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.”
Lelaki itu berkata:
“Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya”
Baginda bersabda:
“Apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing tapi berlumba-lumba membina bangunan."
Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya:
“Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?”
Aku berkata:
“Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”
Baginda bersabda:
“Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.”
(HR Muslim)
=================
Tidaklah berniat untuk mengulas hadis yang panjang ini, sekadar ingin mengetengahkan satu perkara yang sering dipandang enteng oleh kita semua termasuk saya.
IHSAN. Bukan Muhammad Ihsan atau wang ihsan yang sering diberikan oleh kerajaan negeri yang saya maksudkan disini. Mari kita lihat semula definisi ihsan yang Rasulullah SAW terangkan didalam hadis kedua himpunan hadis arba’in oleh Imam Nawawi ini. Apakah yang dimaksudkan dengan ihsan? Sabda Rasulullah s.a.w:
“Al ihsanu an ta'budaLLah kaannaka tara'u, fain lam takun tara'u fainnahu yaroka..”
[maaf xdpt nak taip arabic font]
“Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu."
Ihsan (kebaikan) mungkin juga berbentuk hasan (baik), ahsan (lebih baik), hasanah (baik), dan muhsin (yang berbuat baik). Oleh kerana itu, ihsan boleh diertikan sebagai baik, kebaikan, kebajikan, atau orang yang berbuat baik. Tetapi apakah perbezaanya dengan “khayr” yang mana kita sedia maklum yang ertinya juga sama dengan ihsan iaitu baik?
Walaupun mempunyai maksud yang sama, namun ihsan lebih halus dan dalam maksudnya, lebih berkualiti kebaikannya serta lebih luas fungsinya. Begitu juga dengan Al-Insan dan Al-Basyar yang mana keduanya juga membawa maksud yang sama iaitu manusia. Tetapi insan menggambarkan manusia yang berkualiti dan positif sifat2nya manakala basyar lebih cenderung kepada yang negatif.
Ihsan merupakan tingkat tertinggi dalam keimanan kepada Allah bilamana kita mampu melakukan setiap ibadah (bukan hanya ibadah khusus) seolah-olah kita melihat Allah SWT dan lebih hebat daripada itu jika kita mampu melakukan setiap perkara dalam hidup ini dengan penuh keyakinan bahawa Allah sedang memerhatikan kita. Seterusnya membawa kepada keyakinan bahawa setiap yang dilakukan itu akan ada “habuannya” kelak. Sama ada baik atau buruk, kita yang menentukannya. SubhanaLLah!
“Fainnahu yaroka/ He sees you / sesungguhnya Dia melihat kamu!..”
Betapa sukar rasanya untuk diaplikasikan dizaman ini. Jika tidak, mana mungkin kemungkaran dan kedurhakaan berlaku secara berleluasa sekarang. Salah satu puncanya adalah kerana hilangnya nilai Ihsan dalam diri kita. Kita tidak mampu untuk menghadirkan Allah didalam setiap tindakan kita. Kita juga sukar untuk memperingatkan diri bahawa setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk akan ada perhitungannya diakhirat nanti. Hal ini berlaku sehingga menyebabkan kita dengan mudahnya melakukan dosa, kemaksiatan dan kemungkaran. Mungkin sesuatu kesalahan itu mampu kita sembunyikan dari pandangan manusia. Yang kita zahirkan hanyalah kebaikan dan ketaatan. Namun kita sering lupa, masih ada yang melihatnya. Dia yang melihat tanpa sebarang hijab pun antara kita dan Dia.
Kadang-kadang kita cuba untuk mempertontonkan kebaikan kita dihadapan manusia, namun apabila tidak dilihat manusia kita kembali bertukar watak kepada yang sebaliknya. Dihadapan kebanyakan orang kita cuba untuk berakhlak mulia. Makan dan minum dengan sopan dan penuh beradab umpama pengantin baru. Namun bila ketiadaan manusia, tiba-tiba terus lupa pada upacara “makan beradab” tersebut. Makan dengan lahapnya, minum berdiri bahkan lebih teruk lagi jika sambil berjalan! Contoh yang lebih mudah, didepan orang ramai, kita membuang sampah didalam tong sampah bahkan adakalanya dengan sangat ringan tangan kita mengutip sampah2 yang ada berhampiran dengan kita. Tetapi lain pula situasinya bila kita bersendirian, kita pula yang menyumbang sampah ditempat2 yang tidak sepatutnya.
Dihadapan manusia kita dikenali sebagai seorang yang sangat rajin beribadah, tapi bila bersendirian, sangat banyak alasan yang diberi pada diri dan sering kalah dengan bisikan2 syaitan. Bila dihadapan ramai orang kita sangat menjaga pergaulan lelaki dan perempuan (mungkin kerana ingin menjaga imej Islam). Tapi malangnya bila diluar pengetahuan orang ramai, kita boleh melakukan sesuatu yang jelas-jelas dilarang oleh Islam (yang kita sendiri tahu dan telah diberi peringatan berulang-ulang kali). Bahkan lebih buruk dan teruk lagi jika kitalah orangnya yang menyeru kepada penjagaan ikhtilat itu sendiri.
Hal nahnu qoumun amaliyyun? Adakah kita orang2 yang beramal dengan apa yang kita katakan? Berkali-kali diulang baca didalam usrah, daurah, ceramah dan apa jua majlis ilmu tentang amaran Allah kepada golongan yang mengatakan tetapi tidak beramal ini (As-Soff:2-3). Kita sibuk menyeru orang untuk beramal dengan apa yang kita sampaikan tetapi sering lupa pada diri sendiri (Al-Baqarah:44). Pakcik Hassan Al-Banna (as-syahid) pernah berpesan, “Aslih nafsak, wad’u ghairak”- perbaiki diri dan serulah kepada orang lain. Menunjukkan betapa pentingnya pengislahan (pembaikan) pada diri kita disamping menyeru orang lain kepada pengislahan tersebut. Keduanya perlu berjalan seiring dan serentak. Tidak boleh hanya mengambil satu aspek sahaja.
Ini bukan bererti menghalang sesiapa untuk melakukan kebaikan dihadapan orang ramai atau menyembunyikan kebaikan kita dengan menonjolkan keburukan. Tidak! Bahkan orang yang tidak melakukan kebaikan kerana takut dianggap riak oleh manusia itu adalah riak yang paling besar! Kata naqibahku (maaf, xingat dalilnya). Banyak lagi contoh-contoh yang boleh menggambarkan bahawa nilai ihsan ini semakin terhakis dari kalangan umat Islam hari ini. Namun cuba untuk difokuskan kepada para pemandu kenderaan dakwah itu sendiri supaya kita “bersih” daripada unsur2 yang syubhah dan gharar apatah lagi maksiat, agar apa yang kita serukan mampu membekas pada hati-hati yang menerimanya.
~Allah knows~
[Amaran keras utk diri sendiri! moga tidak menyumbang fitnah kepada Islam]
0 comments:
Post a Comment