Photobucket

Thursday, September 9, 2010

Refleksi diri sebelum pemergiannya..

Bismillahirrahmanirrahim...

Tanpa disedari, kini kita telah berada dipenghujungnya. Terasa seperti baru semalam kita bersiap-siap menyambut kehadiran tetamu agung ini, namun hari ini hanya berbaki tidak sampai 1 hari sahaja lagi untuk bersamanya. Alhamdulillah, Allah masih berkenan memanjangkan usia kita hingga ke saat ini. Tiada siapa yang dapat memastikan bahawa dia akan bertemu kembali dengan ramadhan pada tahun hadapan. Terasa benar-benar dikejutkan dengan tazkirah paling mengesankan dari Allah SWT atas pemergian seorang akhawat baru-baru ini. (Al-fatihah buat Ukhti Raihana Zainuddin yang telah kembali ke rahmatullah pada 26 Ramadhan 1431 yang lepas akibat kemalangan jalanraya, moga Allah tempatkan beliau bersama para solihin dan muttaqin. Allahumaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fuanha.. Amin Ya Robb.. )

Alhamdulillah, setiap kali tibanya ramadhan, terlalu banyak perkara yang membuatkan diri terasa seperti ditarbiyah secara tak langsung dari Allah SWT. Dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Pelbagai peristiwa yang dialami sepanjang ramadhan ini yang membuatkan diri terefleks kembali hubungan dengan-Nya.

Ramadhan bulan Al-Quran, bulan sabar, bulan perjuangan, bulan pembersih jiwa, bulan penyuci hati dan juga bulan perlumbaan meraih takwa dan kebebasan dari api neraka, kini ia bakal pergi meninggalkn kita. Tak pasti sama ada berpeluang untuk bertemunya kembali atau tidak. Namun yang pastinya dia akan kembali menemui kita disaat tibanya hari penyaksian. Dia akan menjadi pembela bagi orang-orang yang sukses meraih taqwa dan menjadi penuntut bagi orang yang membiarkannya pergi tanpa meninggalkan sebarang kesan yang amat bermakna.


Ramadhan seharusnya menjadi medan perubahan setiap individu kerana didalamnya terdapat bermacam jenis pelajaran yang jarang sekali dilakukan dibulan lainnya. Kerana itu Rasulullah saw dan para sahabat apabila tibanya hari raya, ia benar-benar merupakan hari kemenangan buat mereka. Mereka telah melalui proses pengkaderan rabbani dibulan ramadhan sehingga keluarnya mereka dari bulan suci ini, mereka menjadi lebih segar dengan peningkatan kualiti ibadah dan memiliki semangat baru untuk meneruskan dakwah. Begitu juga seharusnya kita.

Ramadhan ibarat kepompong yang bakal menghasilkan seekor rama-rama yang cantik apabila keluarnya dari kepompong tersebut. Namun bukan hanya baik dan cantik dibulan ramadhan bahkan seharusnya setiap bulan merupakan ramadhan bagi kita. Tarbiyahnya sentiasa melekat dihati dan setiap perilaku kita walaupun berada diluar ramadhan.

" Rabbani laisa Ramadhani "

Kita dituntut untuk menjadi seorang 'abid yang rabbani bukan sekadar 'abid ramadhani. 'Abid rabbani adalah hamba yang beribadat kepada Allah sepanjang masa tanpa mengira musim atau bulan2 tertentu. Manakala 'abid ramadhani ialah hamba yang beribadat hanya pada bulan ramadhan atau dalam kata lainnya ibadahnya bermusim. Hanya dilakukan dibulan ramadhan dan prestasi ibadahnya tidak dapat diteruskan pada bulan selain ramadhan. Alangkah ruginya jika kitalah insan yang ramadhani itu. Puasa dan ibadah lainnya cuma sekadar adat dan ikut-ikutan.

Sungguh beruntunglah orang yang dapat melanjutkan ibadah-ibadah sunat, tadarus, qiyamullail dan yang lain-lainnya setelah ramadhan berakhir. Sungguh berjayalah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya dimana pun dia berada. Sungguh sukseslah orang yang hidup berjamaah hingga berakhirnya kesempatan untuk beribadah. Sungguh rugilah orang yang berhenti qiyamullail dengan berakhirnya ramadhan. Sungguh celakalah orang yang kembali kepada kebiasaan lama dengan mengetepikan syari'at. Tidak akan mampu kita capai darjat ketaqwaan itu seandainya ramadhan menjadi bulan ibadah bermusim yang berakhir dengan kedatangan hari raya sahaja.

Moga sy, ikhwah wa akhawat fiLLah dilimpahkan rahmat, diberi hidayah dan redhai Allah serta menjadi hamba yang rabbani dan bertaqwa sepanjang masa. Mohon maaf atas segala kekhilafan, kekurangan dan ketelanjuran sepanjang berukhuwah. Moga ribat ukhuwah ini sentiasa terpelihara. Moga hati-hati ini sentiasa terpaut dengan cinta dan jihad dijalan-Nya.



اللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَا يَحُولُ بَيْنَنَا
وَبَيْنَ مَعَاصِيكَ وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَا بِهِ جَنَّتَكَ
وَمِنَ الْيَقِينِ مَا تُهَوِّنُ بِهِ عَلَيْنَا مُصِيبَاتِ الدُّنْيَا
وَمَتِّعْنَا بِأَسْمَاعِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُوَّتِنَا مَا
أَحْيَيْتَنَا وَاجْعَلْهُ الْوَارِثَ مِنَّا وَاجْعَلْ ثَأْرَنَا عَلَى
مَنْ ظَلَمَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى مَنْ عَادَانَا وَلاَ تَجْعَلْ
مُصِيبَتَنَا فِى دِينِنَا وَلاَ تَجْعَلِ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا
وَلاَ مَبْلَغَ عِلْمِنَا وَلاَ تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لاَ يَرْحَمُنَا

" Ya Allah berilah kami rasa takut pada-Mu hingga menjauhkan kami dari bermaksiat kepadaMu Ya Allah, berilah kami nikmat taat pada-Mu yang akan mengantarkan kami menuju syurga-Mu. Tanamkanlah dalam hati kami keyakinan yang meringankan kami menghadapi ujian dunia. Jadikanlah pendengaran, penglihatan dan kekuatan kami kenikmatan hidup yang Engkau berikan di dunia, dan jadikanlah ia sebagai warisan yang kami wariskan bagi generasi penerus. Ya Allah, jadikanlah pembalas atas orang yang menzalimi kami. Tolonglah kami dalam menghadapi orang yang memusuhi kami. Janganlah Engkau biarkan kami terkena musibah dalam urusan agama kami. Janganlah Engkau jadikan dunia itu sebagai tujuan utama kami. Janganlah Engkau biarkan kami merasa cukup dengan ilmu yang ada. Dan janganlah Engkau biarkan berkuasa atas kami orang-orang yang tidak menyayangi kami.."

Amin Ya Robbal 'Alamin..
Taqabbalallahu minna wa minkum


Eid Mubarak!
Kullu 'am wa antum bi khayr..


0 comments: