Mengkafirkan Seorang Muslim Adalah Perkara Yang Sangat Merbahaya
Kita semua maklum tentang kehormatan seorang muslim:
"Tiap-tiap Muslim ke atas Muslim haram darahnya, hartanya dan kehormatannya". Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu haram di atas kamu seperti haramnya hari kamu ini, di bulan kamu ini". Oleh kerana itu kita dapati syari'at Islam melindungi kehormatan ini dengan perundangan yang bijaksana. Syari'at ini melindungi darahnya dengan perlaksanaan had Qisas, melindungi kehormatannya dengan had Qazaf dan had zina (orang yang menuduh berzina di hukum sebat lapan puluh kali) dan melindungi hartanya dengan had potong tangan yang mencurinya dan demikianlah seterusnya. Oleh itu, menghukum orang dengan kufur atau mengkafirinya, padahal dia seorang muslim samalah ertinya mencabul kehormatan yang paling mulia. Menuduh seorang muslim sebagai seorang kafir lebih dahsyat dari membunuhnya. Oleh kerana itu, balasannya sama dengan jenis kerjanya. Umpamanya jika menuduh seorang muslim sebagai seorang kafir tanpa bukti, maka menuduh itu menjadi kafir. Imam Bukhari r.a. bahawa Abu Dzar mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Tidak boleh seorang lelaki menuduh lelaki yang lain sebagai fasik atau kufur kerana tuduhan itu akan kembali semula kepadanya jika yang dituduh itu tidak sedemikian".
Darinya lagi, bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa memanggil seorang lelaki dengan panggilan kafir atau mengatanya musuh Allah, sedangkan
orang itu tidak sedemikian, maka tuduhan itu akan kembali semula kepadanya".-Muttafaq 'Alain
Dari Ibnu Umar r.a. beliau berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w
"Apabila seseorang lelaki berkata kepada saudaranya: "hai kafir", maka kekufurannya itu jatuh kepada salah
seorang daripada keduanya. Jika apa yang dikatakan itu benar, kafirlah orang dipanggil tapi kalau tidak,
kekafiran itu kembali semula kepadanya".
Dari sini dapatlah kita melihat bahawa menghukum seseorang muslim itu sebagai orang kafir adalah satu tindakan yang membawa kepada kebinasaan tanpa pahala yang boleh diharap darinya dan ini bukan dari tugas-tugas syar'iah.
Manakah Yang Lebih Perlu Diawasi?
Beranikah kita mengatakan kepada seorang yang sakit, tidak mampu ataupun tidak berdaya lagi bergerak tetapi masih hidup, bahawa dia telah mati lalu dikebumikan sebelum kematiannya. Jika tidak ada perbezaan pendapat dan mempunyai keyakinan yang cukup tentang kematiannya barulah kita berani mengatakan bahawa dia telah mati. Walaupun orang sakit yang tidak sedarkan diri beberapa hari tetap masih hidup, dia tidak boleh diuruskan sebagai orang mati sebelum dia benar-benar mati. Perlakuan demikian dianggap
sebagai dosa besar dan dipandang sebagai pembunuh walau bagaimana kuat pun penyakitnya.
Sekiranya kita perlu berwaspada dan berhati-hati terhadap masalah tersebut terhadap tubuh manusia, tentulah kita lebih perlu berwaspada dan berhati-hati menjatuhkan hukuman terhadap urusan akidah. Jadi bertindak melucutkan Islam dari seorang muslim dengan melemparkan tuduhan kafir kepadanya adalah lebih besar dosanya dan lebih besar bahayanya daripada menyatakan bahawa orang sakit telah mati padahal ia masih hidup. Jadi, mengapakah kita dengan mudah dan berani mengkafirkan berjuta-juta muslim.
Kita tidak menyangkal, bahawa memang ada dari kalangan muslim yang hidup bersama kita, jika diperiksa dengan teliti dan halus, kita akan dapati dia telah murtad dan telah keluar dari Islam secara langsung, tetapi kita hendaklah memandangnya secara zahir dan zatnya sahaja. Jadi kita memandangnya sebagai muslim kecuali yang telah sabit kekufurannya dan murtadnya secara Qat'i dan pasti menurut ketentuan syar'i.
Tidak boleh juga kita tawaqquf lalu kita tidak memandang seorang sebagai muslim atau sebagai kafir. Ini tidak logik dan tidak berpijak di alam nyata. Demikian juga kita tidak boleh membiarkan orang yang sakit supaya dia terus sakit. Sebaliknya, kita mestilah mengubatinya jauh sekali untuk mengurusnya sebagai orang yang mati lalu mengebumikannya. Sebab asalnya dia seorang yang hidup sehingga sabit kematiannya. Demikian juga seluruh saudara selslam kita. Mereka dianggap muslim sehingga sabit kekufurannya, baru dipandang sebagai orang kafir.
Batas Pemisah Antara Kufur dan Islam
Allah tidak menjadikan batas pemisah di antara kufur dan Islam sebagai satu marhalah yang mesti dilalui, kerana ini akan menimbulkan salah dalam pertimbangan apabila seseorang melintasi marhalah itu sama ada seluruhnya atau sebahagiannya yang kemudiannya timbul perselisihan sama ada menganggapnya sebagai seorang muslim atau orang kafir, lalu menimbulkan beberapa perkara yang sangat bahaya.
Oleh kerana itu, dengan hikmah Allah Taala dan kasih sayangNya kepada kita, Dia menjadikan batas pemisah di antara kufur dan Islam sebagai satu garis yang halus, jelas dan tidak ada perselisihan di atasnya supaya kita tidak terjerumus di dalam konflik yang paling payah iaitu, dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja orang itu adalah dikatakan sebagai seorang muslim. Demikian juga Dia menjadikan urusan keluar atau murtad dari Islam tidak akan terjadi jika tidak disertai dengan dalil qat'ie dan pasti yang jelas kekufurannya. Dengan memberi peluang kepada si murtad itu untuk bertaubat sebelum menjatuhkan hukuman had ar-riddah ke atasnya. Islam tidak menyuruh kita mengadakan ujian kepada sesiapa yang hendak memasuki Islam. Lalu kita berselisih dalam menentukan ujian kepada sesiapa yang hendak memasuki Islam. Kemudian kita berselisih dalam menentukan darjah-darjah kelslamannya dan menetapkan berjaya atau gagalnya dia dalam ujian tersebut. Tapi kita hanyalah menurut sabda Rasulullah:
"Serulah mereka supaya naik saksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah",
maka jika mereka mengucapkan demikian maka sesungguhnya darah dan harta mereka telah terpelihara".
Kita semua telah mengetahui kisah seorang Muslim yang berperang di dalam barisan musyrikin dan mengucapkan dua kalimah syahadah, kemudian dia dibunuh oleh Usamah bin Zaid r.a. setelah dia mengucap dua kalimah syahadah kerana Usamah menyangkanya sebagai satu helah untuk mengelakkan dirinya dari dibunuh, tetapi Rasulullah s.a.w. sangat marah dan kesal terhadap tindakan Usamah lalu bersabda kepadanya: "Kenapa engkau tidak membelah dadanya?". Ada pendapat yang mengatakan bahawa orang mengucap dua kalimah syahadah tidak boleh dipandang sebagai seorang muslim kecuali dia beramal dan memenuhi tuntutan dua kalimah syahadah itu. Itu adalah pendapat yang salah dan keliru. Orang yang mengucap dua kalimah syahadah itu telah menjadi Muslim, tetapi muslimnya sama ada Muslim yang taat, Muslim yang derhaka, ataupun murtad. Itupun sekiranya dia mengingkari perkara yang pasti dimaklumi ataupun dia membuat sesuatu yang tidak dapat diberi pengertian kecuali kekufuran sahaja.
Memecahkan Objek Dakwah
Sesungguhnya Muslim yang kita perguali dan campuri dan yang kita seru kepada Allah, kepada memahami Islam, supaya mereka melaksanakan ajaran Islam dan bekerja untuk Islam, inilah yang menjadi sasaran dan objek dakwah yang kita bekerja di dalamnya. Kita tarik daripadanya individu yang beriman yang terpengaruh dengan dakwah kemudian kita jadikan mereka pendokong-pendokong dakwah yang berjihad dan berkorban pada jalannya. Sekiranya mereka merasai bahawa kita menganggap mereka sebagai orang-orang kafir, mereka akan lari dari kita, tidak mahu mendengar apa yang kita serukan kepada mereka, lalu menjadi musuh-musuh kita. Dengan itu, kita sendirilah yang memecahkan objek dakwah kita dengan tangan-tangan kita dan kitalah yang tersingkir. Lantaran itu, kita berjalan di atas jalan mati. Kita telah mengasingkan diri
kita dari mereka dan kita pada akhirnya tidak dapat merealisasikan satu pun kebaikan untuk Islam dan Muslimin. Sesungguhnya musuh-musuh Allah telah menjajah negeri-negeri umat Islam di seluruh dunia dalam tempoh yang lama. Mereka telah lama membuat berbagai rancangan untuk menjauhkan intisari Islam dan hakikatnya dari kehidupan umat Islam setelah mereka gagal memisahkan umat Islam dari agama mereka. Lantaran itu timbullah generasi-generasi yang jahil terhadap sebahagian besar ajaran Islam. Islam tidak dapat dijelmakan dalam sebahagian besar aspek kehidupan mereka. Inilah yang mendorong dan mendesak kita agar melipat gandakan usaha dan kerja kita untuk menarik tangan-tangan mereka, menasihati mereka, memberi tunjuk ajar kepada mereka, membawa hidayah Islam kepada mereka dan membukakan mata mereka supaya mereka dapat melihat Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Itu tidak cukup dengan fatwa mengkafir sahaja dan membangunkan tembok-tembok dan tabir-tabir di antara kita dengan mereka. Musuh-musuh Allah sentiasa bercita-cita dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memecah-belahkan barisan Muslim. Apakah lagi yang dikehendaki selain dari melihat umat Islam berpecah-belah. Dengan adanya kumpulan, parti, institusi dan pertubuhan yang mengkafirkan yang
lain itulah yang memudahkan musuh-musuh Allah menghancurkan Islam dan sistemnya tanpa membawa faedah dan kebaikan kepada Islam.
JalanNya Yang Sahih
Apabila kita bersungguh-sungguh hendak merealisasikan satu kebaikan untuk Islam dan hendak menegakkan daulah Islam di muka bumi, kita mestilah berjalan mengikut jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. di zaman silam iaitu dari segi imannya, amal, cinta dan ukhuwah tanpa sebarang pertukaran dan perubahan, tanpa cuai dan keterlaluan sebagaimana firman Allah:
"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada
Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan
mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya)"'. Supaya Allah s.w.t. memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya dan menyiksa orang munafik jika dikehendakiNya atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-AhZab: 23&24)
Firman Allah Taala:
"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah
s.w.t. dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah s.w.t. dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik".( Yusuf: 108 )
Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w. yang berjalan di atas jalan yang dicontohkannya tanpa merubah dan menggantikannya..InsyaAllah..
0 comments:
Post a Comment